Berikut dikongsikan contoh karangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bertajuk cara-cara mengatasi stress. UPSR adalah peperiksaan yang diduduki oleh murid Tahun Enam (6) dimana tarikh peperiksaan diadakan pada kelazimannya pada bulan September setiap tahun.
Juga dikongsikan contoh karangan untuk tajuk yang sama buat pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tingkatan 5 (Form 5)
KARANGAN PERBINCANGAN : “CARA-CARA MENGATASI STRESS”
Soalan UPSR:
Stres amat berbahaya kepada kita jika tidak ditangani dengan betul. Bincangkan cara-cara untuk mengatasi stress.
Contoh Jawapan Karangan UPSR
Stres atau tekanan ialah gangguan emosi dari segi pemikiran dan fizikal kita. Hal ini berlaku apabila kita merasa terbeban terhadap sesuatu perkara. Stres yang keterlaluan amat berbahaya kerana ia memudaratkan kesihatan mental dan fizikal kita. Oleh sebab itu kita perlu mengatasinya dengan betul.
Antara cara mengatasi stres ialah dengan bangun awal setiap hari. Apabila kita bangun awal untuk ke sekolah kita tidak akan terburu-buru atau tergopoh-gapah untuk bersiap dan menguruskan diri. Sekiranya kita bangun lewat, kita akan merasa tertekan untuk bersiap-siap ke sekolah kerana bimbang terlambat atau ketinggalan bas.
Selain itu,
kita perlu belajar dan tidur di dalam bilik yang selesa dan kemas. Sekiranya bilik kita berselerak ia menyebabkan kita akan merasa tertekan dan tidak selesa untuk belajar. Kita juga tidak mendapat tidur yang cukup dan berkualiti. Sekiranya tidur kita tidak mencukupi maka kita akan mudah merasa letih dan tertekan.
Di samping itu kita boleh mengatasi stres dengan membuat persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan. Kita akan merasa risau dan bimbang sekiranya lewat membuat persediaan untuk menghadapi sesuatu peperiksaan. Kebimbangan sebegini akan menyebabkan stres atau tekanan.
Kita juga boleh mengatasi stres dengan berkongsi atau menceritakan masalah yang dihadapi kepada ibu bapa kita. Jika kita memendamkan masalah yang dihadapi, lama-kelamaan ia akan menyebabkan kita merasa tertekan atau stres. Dalam hal ini, Ibu bapa kita sudah pasti mempunyai banyak pengalaman untuk membantu kita mengatasi sesuatu masalah.
Kesimpulannya, kita perlu mengatasi stres atau tekanan yang dihadapi dengan cara yang betul agar tidak memudaratkan kesihatan kita.
Contoh Jawapan Karangan SPM : Cara-Cara Mengatasi Stress
Remaja hari ini berdepan dengan pelbagai tekanan dalam usaha memenuhi keinginan ibu bapa dan guru untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Stres yang dihadapi telah menyebabkan ada remaja yang mengambil tindakan yang tidak sesuai. Jelaskan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menangani stres.
Zaman remaja diakui sebagai zaman yang sangat indah namun penuh pancaroba. Remaja akan meneroka pelbagai sudut kehidupan demi mencari hala tuju mereka. Dalam tempoh pengembaraan itu, remaja akan berdepan dengan pelbagai masalah yang menguji ketabahan mereka. Ada remaja yang berjaya menangani masalah dengan baik namun ada juga yang tewas dalam kancah emosi sehingga mencetuskan permasalahan yang lebih serius. Remaja seperti inilah yang perlu dibantu agar mampu menangani tekanan emosi dalam jiwa mereka dengan cara yang bijak.
Apabila dibebani masalah, remaja lebih cenderung untuk melarikan diri daripada masalah dengan mencetus masalah lain.
Contohnya,
Remaja selalu berdepan dengan konflik keluarga kerana pandangan yang berbeza. Jika itu berlaku, mereka mengambil jalan mudah dengan keluar melepak bersama rakan-rakan yang mungkin mendorong mereka untuk melakukan perkara-perkara negatif. Mereka mula tidak pulang ke rumah kerana tidak ingin bertembung dengan punca masalah di rumah. Hakikatnya tindakan itu tidak bijak kerana langkah terbaik adalah dengan mencari punca masalah tersebut dan berbincang bersama-sama agar yang keruh dapat dijernihkan. Jelas bahawa merungkai benang yang kusut adalah lebih baik daripada terus menambah masalah.
Ada juga remaja yang gemar memendam rasa apabila berdepan dengan masalah. Mereka akan menjadi pendiam dan jika keadaan itu dibiarkan berterusan, kemungkinan mereka akan menjadi murung. Kemurungan yang berlebihan akan membawa kepada masalah jiwa. Perkara ini boleh dielakkan jika remaja mencari seseorang yang boleh dipercayai untuk meluahkan masalah mereka. Teman baik merupakan orang yang sepatutnya dijadikan sandaran namun remaja perlu bijak memilih orang yang paling dipercayai. Walaupun orang yang mendengar tidak mampu membantu, sekurang-kurangnya luahan masalah itu dapat meringankan kekusutan yang bermain di minda. Melepaskan apa yang terbuku di jiwa merupakan terapi paling baik dalam menangani stres.
Selain itu,
cara yang tepat untuk mengatasi stres adalah dengan mendekatkan diri kepada Tuhan. Berdoa dan meluahkan rasa hati kepada Tuhan dapat meringankan bebanan. Dengan mendekati diri kepada Tuhan, remaja dapat menerima hakikat bahawa masalah yang datang itu adalah dugaan daripada Tuhan untuk menguji tahap keimanan seseorang. Dugaan itu akan dipandang dari sudut yang positif jika remaja menerima segala masalah sebagai ketentuan atau takdir daripada Tuhan. Maka langkah dengan beribadat merupakan cara yang paling tepat untuk menghilangkan keresahan hati dan remaja boleh memohon petunjuk daripada Tuhan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Kerunsingan terbukti dapat dihindarkan atau diatasi dengan cara beriadah. Jika ada masalah, luangkan masa untuk bersenam atau berjalan-jalan di kawasan riadah yang tenang. Ini selaras dengan slogan badan cergas otak cerdas. Aliran darah yang lancar hasil aktiviti riadah dapat mengurangkan tekanan pada minda yang berserabut dan kemungkinan remaja dapat melupakan seketika masalah yang sedang ditanggung. Remaja juga patut mengajak rakan atau ahli keluarga untuk bersama-sama beriadah dan hasil komunikasi ketika sesi riadah dapat membantu meringankan masalah. Tuntasnya, proses biologi yang tercetus ketika beriadah dapat memberi ilham kepada remaja untuk menyelesaikan masalah emosi yang ditanggung.
Kesimpulannya
Stres tidak boleh dibiarkan menguasai diri kerana implikasinya terlalu besar. Orang yang sedang dalam tekanan yang keterlaluan selalunya tidak dapat mengawal diri sendiri. Justeru, jika kita sedang mengalami stres, berusahalah untuk mengatasinya secepat mungkin. Begitu juga jika kita melihat rakan yang sedang dalam tekanan, carilah jalan untuk membantunya mengatasi masalah tersebut. Cegah sebelum parah adalah jalan yang terbaik sebelum nasi menjadi bubur.
Semoga perkongsian contoh karangan UPSR Cara-Cara Mengatasi Stress boleh dijadikan panduan buat pelajar dalam menghasilkan karangan yang berkualiti dan terbaik.